muka utama

AKHLAK

 

Hijab Wanita Islam

 Pengertian

Hijab bererti Tabir , tirai atau dinding dan digunakan juga dengan erti kata perselindungan wanita di dalam Islam daripada pandangan lelaki ajnabi. Rasululullah SAW menyatakan bahawa wanita ialah aurat yang mesti diselindungkan.

              Lapangan atau kegiatan wanita yang terpenting adalah di dalam lingkungan rumahtangganya sahaja. Ia menolong memperkukuhkan system keluarga , sedangkan keluarga yang sempurna menjadi tapak atau asas bagi masyarakat serta bangsa yang bertamadun. Hanya apabila ada hajat atau darurat dari segi syariat sahaja , maka baharulah ia diharuskan keluar dari rumah , tetapi dengan menjaga peraturan-peraturan dan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh Allah SWT .

              Wanita tidak harus memainkan peranan-peranan lelaki seperti wanita zaman moden ini dan juga wanita tidak harus berkeliaran di luar rumah sepertimana wanita –wanita jahiliyyah zaman dahulu.

              Sebenarnya wanita-wanita telah diberati oleh peranan yang sama besar sebagaimana yang telah diberatkan terhadap lelaki , tetapi keadaannya berbeza iaitu di mana wanita lebih banyak di dalam perselindungan berbanding lelaki yang banyak di luar atau umum. Jadi apabila wanita berada di dalam perselindunagn , maka kehormatan mereka terpelihara , dan lelaki pun terselamat daripada fitnah mereka yakni terselamat daripada tergoda dengan mereka dan kesucian hidup pun dapat terpelihara di dalam masyarakat.

Firman Allah SWT : “ katakanlah ( wahai Muhammad ) kepada orang lelaki yang beriman: hendaklah mereka menahan( sebahagian ) daripada pandangan mereka  dan memelihara kemaluan mereka yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat .”             ( surah An-Nur ayat 30)

 

Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang lelaki yang beriman wajib menahan pandangan mata mereka daripada memandang kepada wanita yang  bukan mahram . Pandangan yang tidak disengajakan adalah dimaafkan tetapi tidak boleh diulangi. Pandangan kerana suatu hajat atau darurat dari segi syariat adalah diharuskan , seperti untuk meminang atau mengubati . Zina mata membawa kepada zina hati yang membawa kepada zina anggota dan ini akan menyebabkan kemurkaan dan laknat Allah.

 

Firman Allah yang menerangkan akan batas-batas aurat wanita ialah ;

“ Dan katakanlah ( wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman : hendaklah mereka menahan( sebahagian) daripada pandangan mereka ( daripada memandang lelaki yang ajnabi) dan memelihara kemaluan mereka , dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka , kecuali yang ( biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung (khumur) ke dada mereka , dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka , atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka , atau putera-putera saudara perempuan mereka , atau wanita-wanita Islam , atau hamba abdi yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan ( terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti aurat perempuan . Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan . Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah , hai oang-orang yang beriman, supaya kamu mencapai falah, yakni mendapat keuntungan , kemenangan atau kebahgiaan yang hakiki .” ( surah An-Nur ayat 31)

 

Ayat di atas melarang wanita- wanita beriman daripada mendedahkan aurat atau perhiasan mereka . Para ulama berselisih pendapat dalam menafsirkan kecuali yang biasa nampak daripadanya.

              Ibn Mas’ud , Ibrahim an Nakha’I dan Al-Hasan Al-Basri ( ra) menafsirkannya sebagai pakaian luar yang dipakai oleh perempuan untuk menutup perhiasannya yang dalamatau mereka menafsirkannya sebagai kain tutup muka . Setengah-setengah ulama seperti Ibn Abbas , Mujahid , Ata Ibn Umar , Anas , ad-Dahhak, Sa’id ibn Jubair , A-l Awza’i dan lain-lain, mengatakan bahawa yang dikecualikan itu ialah muka dan dua tapak tangan , termasuk cincin , inai , celak dan seumpamanya yang dibuat perhiasan.

              Qawl yang muktamad di dalam mazhab Syafii berpegang kepada tafsiran bahawa kecuali yan biasa nampak daripadanya itu ialah baju luar dan tutup muka , diperkuatkan dengan nas surah al-Ahzab ayat 53 dan 59 , dan beberapa hadis sahih. Contoh hadis ialah, Raslulullah menyuruh isteri-isterinya berselindung di sebalik hijab daripada Abdullah Ibn Ummi Maktum dan satu lagi hadis yan meriwayatkan di mana isteri istrei Rasulullah SAW mengenakan hijab semasa di dalam ihram daripada pandangan lelaki ajnabi.

              Qawl yang tidak muktamad atau dhaif di dalam mazhab Syafii berpegang kepada penafsiran Ibn Abbas dan lain-lain , disokong dengan beberapa buah hadis yang mengecualikan daripada muka dan dua tapak tangan sampai pergelangan tangan daripada ditutup.Tentang pendapat Ibn Abbas ini, At-Tabariy ada meriwayatkan di dalam kitab Tafsirnya suatu perkataan daripada Ibn Abbas yang mengatakan bahawa diharuskan membuka muka itu ketika di dalam rumah.

 

Pengajaran atau tafsiran daripada surah An-Nur ayat 31 tadi, bahawa

1.     kain tudung itu mestilah besar sehingga menutup ke dada. Wanita-wanita Arab zaman jahiliyah ada yang mengenakan tutup kepala tetapi hanya menutup kepala dan bahagian belakang leher mereka, manakala bahagian  depan leher mereka  serta muka dan dada mereka terdedah. Pada zaman moden inipun , baju kurung yang dipakai , walaupun sudah dikancing , tetap masih menampakkan bentuk dada , dan ia wajib ditutup oleh kain tudung yang labuh ke dada. Begitu juga , tudung yang dipakai sempurna sehingga menghalang terkeluarnya walau sehelai rambut sekalipun .

2.     Orang-orang yang dibenarkan diperlihatkan perhiasan mereka ialah ;

a)     suami

b)     ayah

c)      ayah mertua

d)     anak lelaki

e)     anak lelaki daripada suami( anak tiri)

f)      adik beradik lelaki

g)     anak kepada adik beradik lelaki ( anak saudara)

h)     anak kepada adik beradik perempuan ( anak saudara)

i)      wanita- wanita Islam

j)       hamba abdi yang dimilikinya

k)     pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap perempuan

l)      anak kecil yang belum mengerti aurat perempuan

 

3.     Perempuan beriman dilarang memukul kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan , seperti gelang kaki. Para ulama feqah juga ada membuat kesimpulan secara qias , bahawa jikalau dilarang wanita-wanita beriman daripada berbuat demikian , maka suara perempuan itu lebih-lebih lagi mendatangkan fitnah kepada lelaki ajnabi . Pengaruh suara perempuan ke atas hati lelaki memnag diakui juga oleh ahli psikologi moden. Oleh itu , wanita-wanita beriman dilarang memperdengarkan suara mereka kepada lelaki ajnabi, umpamanya dalam perbualan sesama mereka, atau dalam membaca alquran, bersyarah, bernasyid dan sebagainya yang di dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah. Apabila terdesak kerana darurat , maka janganlah mereka bertutur kepada lelaki ajnabi itu dengan melunak-lunakkan atau memanja-manjakan suara , agar tidak tergoda lelaki itu.

4.     Ayat daripada surah An-nur ayat 31 ini diakhir dengan perintah taubat kepada Allah. Ini menunjukkan bahawa pelanggaran hokum di dalam ayat ini  adalah termasuk dalam jumlah dosa.

 

Bagaimanapun Allah memberi kelonggaran kepada wanita yang telah tua dalam perlaksaan hijab mereka , Firman Allah ;

“ Dan perempuan-perempuan tua yang telah berhenti ( dari haid dan mengandung) yang tiada berharap akan berkahwin lagi , tiadalah atas mereka dosa mneinggalkan thiyab mereka ( yakni pakaian luar mereka , yang kalau dibuka , tiada menampakkan aurat ) dengan tiada ( bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan ( atau memelihara kesucian diri ) adalah lebih baik bagi mereka . Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”  ( surah An-Nur ayatb60)

 

Pengajaran ayat : Allah mengharuskan wanita-wanita beriman yang sudah lanjut usianya untuk membuka pakaian luarnya , iaitu jilbabnya, yang mana jikalau dibuka , masih tidak menampakkan auratnya . Tetapi ini jika tiada dengan maksud untuk memperlihatkan perhiasannya . Walau bagaimanapun , ia dianjurkan untuk berlaku sopan dan memelihara kehormatan dan kesucian dirinya .